Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti beberapa individu dan akan mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan berhubung pendedahan  berkaitan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia(KESUMA), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Tambah Ahmad Khusairi, selain keterangan beberapa dokumen juga diperlukan daripada KESUMA dan HRD Corp.

“Berasaskan laporan audit tersebut, kita telah mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak yang terlibat.

“Antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya. Oleh itu, satu pasukan khas telah dibentuk dan beberapa kertas siasatan telah dibuka,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, pasukan penyiasat SPRM akan mendapatkan dokumen yang diperlukan pada Selasa ini.

Siasatan akan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan kesalahan di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta ASPRM 2009.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan HRD Corp menggunakan RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang berisiko.

Laporan PAC juga mendedahkan, panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.

Susulan itu, ALP tidak berupaya memantau aktiviti pelaburan HRD Corp secara menyeluruh dan ini menjejaskan peranannya sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap hala tuju HRD Corp.-MalaysiaGazette