Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail selepas diumum menang Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Serbaguna Jawi, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 6 JULAI 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail menyifatkan kemenangan beliau dengan majoriti hampir tiga kali ganda itu bukti protes rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, keluhan yang diterima sepanjang kempen selama 14 hari berhubung tindakan kerajaan terbukti amat membebankan rakyat dan ia diterjemahkan di atas kertas undi.

“Alhamdulillah..Allah berikan kemenangan kepada PN.. Terima kasih juga rakyat dan pimpinan yang memberikan sokongan luar biasa pada PRK ini.

“Kemenangan ini tanda protes pada tindakan kerajaan yang menekan rakyat dan ia terbukti sepanjang tempoh dua minggu (kempen) yang kita guna untuk mendekati rakyat, banyak rintihan didengari (berkaitan kos sara hidup),” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas diumumkan memenangi kerusi DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Abidin yang mesra disapa dengan panggilan Abang Abidin akan memberi penekanan berkaitan isu air yang dihadapi penduduk di Mukim 5 di sini.

“Kalau tanya apa yang akan dilaksanakan terlebih dahulu, semestinya isu air yang akan diberikan keutamaan selepas ini.

“Kita akan bincang dengan agensi berkaitan berhubung perkara itu (isu air), Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pas itu memperoleh 14, 489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin yang meraih 10,222undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Sungai Bakap di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast