KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja di Sepang dengan memberkas dua lelaki pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, pihaknya turut dirampas dadah jenis ganja dengan anggaran berat 8122.5 gram bernilai RM 26899.80.

Menurutnya, dianggarkan dadah tersebut boleh dibekalkan kepada 8,122 orang pengguna dalam masa sehari.

“Serbuan pertama pada Jumaat jam 5.40 petang. Lanjutan daripada tangkapan an soal siasat pihak polis membuat serbuan di sebuah rumah di Kawasan Cyberjaya dan telah berjaya merampas lapan bungkusan plastik hitam mengandungi daun kering disyaki ganja seberat 8058.5 gram bernilai RM24,979.80.

“Serbuan kedua di sebuah rumah di Dengkil dan telah merampas satu baling mengandungi ganji 64 gram bernilai RM1.920,” katanya menerusi kenyataan.

Wan Kamarul Azran berkata, kedua-dua suspek berumur antara 23 hingga 29 tahun masing-masing bekerja sebagai pemandu e-Hailing dan pengusaha kedai nurseri pokok.

“Hasil saringan air kencing suspek pertama yang ditangkap positif dadah jenis THC manakala seorang lagi negatif dadah. Kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” tambahnya.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari di Bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jika disabitkan kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.- MalaysiaGazette