KUALA LUMPUR – Kemenangan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap membuktikan strategi memburukkan ulama yang berada di dalam Pas tidak berjaya.
Pemimpin Pas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sepatutnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) itu berjalan sederhana.
Ini kerana katanya, mereka yang menghina ulama dengan sangkaan jahat perlu menanggung dosa besar.
“PN menang dengan majoriti yang agak selesa di Sungai Bakap, strategi memburukkan ulama yang berada di dalam Pas nampaknya tidak berjaya.
“Kalaulah sangkaan jahat mereka itu yang mengatakan ulama politik adalah ulama su’ ternyata salah di sisi Allah, beratnya dosa yang perlu ditanggung oleh penghina-penghina ini.
“Bersederhanalah kita dalam berkempen, jangan sampai melepasi batasan dosa. Bertakwalah kepada Allah,” katanya di Facebook.
PN berjaya mengekalkan penguasaan di DUN Sungai Bakap apabila calon mereka Abidin Ismail menang kerusi berkenaan dalam PRK hari ini.
Kemenangan Abidin diumumkan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Serbaguna Jawi, malam ini.
Abidin, 56, memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi dengan majoriti 4,267 undi. – MalaysiaGazette