Rais (tengah) mendengar penerangan mengenai proses membuang sampai kitar semula selepas selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC)@ Taman Bukit Serindit, Melaka hari ini.

MELAKA – Melaka menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengutamakannya untuk pembinaan loji memproses sisa pepejal kepada tenaga (WTE) yang sudah diluluskan sejak dua tahun lalu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Datuk Yasin berkata, usaha itu juga dapat membantu Melaka menangani isu tapak pelupusan sampah haram yang semakin membimbangkan.

“Kita berterima kasih kepada KPKT kerana memilih Melaka untuk bina WTE cuma saya ingin tegaskan tender ini (WTE) telah dibuka lebih dua tahun lalu dan saya difahamkan telah pun dianugerahkan kepada syarikat terlibat.

“Kita ternanti-nanti dan menunggu agar WTE ini dapat dilaksanakan segera kerana Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di Sungai Udang dijangka mampu bertahan sehingga Mac 2026 sahaja, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC)@ Taman Bukit Serindit di sini hari ini.

Rais Yasin

Rais mengulas kenyataan Menteri KPKT Nga Kor Ming di Dewan Rakyat Isnin lalu mengenai perancangan KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk membina 18 loji WTE di Semenanjung menjelang 2040.

Lokasi pembinaan adalah di Kedah (Jabi dan Padang Cina), Johor (Bukit Payung, Seelong, Sedili), Pahang (Jabor – Jerangau, Belenggu), Melaka (Sungai Udang), Kuala Lumpur (Rawang), Selangor (Jeram, Tanjung 12, Rawang 2), Pulau Pinang (Pulau Burung), Perak (Lahat, Taiping dan Manjung), Terengganu (Tertak Batu) dan Kelantan (Jedok).

Pembinaan loji berkenaan bagaimanapun masih di peringkat perancangan dan pelaksanaannya tertakluk pada kemampuan kedudukan fiskal kewangan kerajaan serta kemampanan model WTE yang ditawarkan.

Mengulas lanjut Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, Melaka meletakkan harapan besar untuk diutamakan dalam pembinaan loji memproses sisa pepejal kepada tenaga itu.

“Kita bukan sahaja berharap, tapi dah tunggu sekian lama untuk mempunyai WTE yang saya difahamkan dapat menguruskan 1,050 tan sisa sampah sehari walaupun hampir 1 juta rakyat Melaka sendiri menghasilkan 1,300 tan sampah sehari.

“Ini juga penting untuk membantu Melaka menyelesaikan isu tapak pelupusan sampah haram yang agak membimbangkan,” katanya. – MaaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast