KUALA LUMPUR – Tumpahan minyak dikesan di pintu air Jalan Tangki, Pelabuhan Klang, Jumaat lepas.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kenyataan berkata,  tumpahan berpunca daripada sebuah premis kilang penyimpanan minyak sawit.

Jelasnya, ia susulan daripada kebocoran paip hos dari kilang tersebut ke dalam longkang seterusnya mengalir ke dalam parit berhampiran.

“Berdasarkan semakan LUAS di tapak, tiada aliran minyak memasuki sungai berhampiran iaitu Sg. Aur susulan tindakan pantas pihak JPS menutup pintu air di lokasi,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, premis tersebut telah menghentikan operasi dan melaksanakan pembaikan paip hos.

Dalam masa yang sama, kilang itu diarahkan melaksanakan kerja pembersihan dan penyedutan sisa tumpahan dengan segera.

“Di dalam masa yang sama, pihak bomba juga turut sama hadir membantu kawalan di lokasi dengan memasang oil boom di parit terlibat bagi mengawal tumpahan,” katanya lagi.

Tambah LUAS, pihaknya turut melakukan ujian pensampelan terhadap kualiti air yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi tindakan lanjut.

“LUAS akan mengambil tindakan lanjut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79, Enakmen LUAS 1999 di atas kesalahan mencemarkan sumber air,” tambah kenyataan itu.-MalaysiaGazette