Pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyaring semula data Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Ko Kurikulum (PAJSK) pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tercicir.

Menurutnya, data tersebut akan diserahkan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) bagi tujuan padanan dan penawaran untuk melanjutkan pengajian yang tertakluk kepada kelayakan calon dan kekosongan program.

Ia mengulas isu markah PAJSK lepasan SPM yang kosong hingga mengakibatkan pelajar terbabit gagal dalam permohonan mereka untuk meneruskan pengajian ke universiti.

KPM berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan secara terperinci perkara yang berbangkit dan melaksanakan langkah intervensi bagi memastikan isu yang timbul dapat diatasi segera dan tidak akan berulang pada masa hadapan.

Untuk makluman, markah PAJSK yang merangkumi 10 peratus markah kokurikulum turut dikira selain keputusan peperiksaan semasa memohon melanjutkan pengajian melalui UPU.

Sebelum ini, seorang penjaga pelajar sebuah sekolah di Pahang mendakwa anaknya gagal mendapat pilihan pertama selepas eputusan permohonan UPU lepasan SPM 2023 diumumkan baru-baru ini.

Penjaga itu mendakwa, siasatan yang dilakukanya mendapati terdapat kesilapan markah PAJSK yang menyumbang 10 peratus daripada merit, sehingga menyebabkannya anaknya dan pelajar sekolah berkenaan yang dinobat sebagai sekolah paling cemerlang ketika peperiksaan SPM lalu tidak mendapat tempat pada pilihan pertama UPU. – MalaysiaGazette