KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) komited untuk menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang komprehensif dan berkualiti kepada peserta, ahli keluarga klien serta masyarakat selaras dengan falsafah dan prinsip-prinsip asas yang ditetapkan dalam Dasar Dadah Negara.
Justeru, dakwaan sesetengah pihak AADK tidak melibatkan kumpulan pakar dan pemimpin masyarakat dalam pelaksanaan program rawatan dan pemulihan dadah adalah tidak tepat dan jauh daripada kebenaran.
“AADK telah memberikan perkhidmatan Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti (RPDK) kepada sekitar 85 ke 90 peratus orang dari jumlah keseluruhan klien dan hanya 10 hingga 15 peratus sahaja yang dimasukkan ke Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi (RPDI) setiap tahun.
“Pada tahun 2021, 2022 dan 2023, ,masing-masing seramai 73,113, 64,335 dan 65,372 orang klien telah diberi perkhidmatan dalam komuniti dan hanya 7,133, 8,594 dan 9,517 orang klien mendapat perkhidmatan dalam institusi,” kata agensi itu dalam satu kenyataan, hari ini.
AADK berkata, terdapat perbezaan besar antara perkhidmatan RPDK dan RPDI yang mana ia adalah satu manifestasi pelaksanaan rawatan dan pemulihan berasaskan keperluan unik individu dengan membuat penilaian dari segi penyalahgunaan dadah, sokongan ahli keluarga, pekerjaan, pendidikan dan sokongan sosial yang lain terhadap klien sebelum sesuatu syor dibuat oleh pegawai pemulihan.
Menurut AADK, perkhidmatan RPDK disediakan di 42 pusat khidmat, termasuk Pusat Integrasi Masyarakat dan 108 Pejabat AADK Daerah yang telah dijenamakan semula sebagai Pejabat AADK Daerah dan Pusat Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti di seluruh negara.
“Tujuan penjenamaan ini adalah untuk meningkatkan akses rawatan dan pemulihan kepada seluruh klien dan ahli keluarga klien yang mempunyai permasalahan dadah.
“Ia juga satu komitmen AADK untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dalam perkara 3 – Good Health and Well Beingdalam Sustainable Development Goals, di mana Malaysia turut melaporkan bilangan penagih dadah yang mendapat akses kepada rawatan dan pemulihan dadah dalam indikator 3.5.1 – coverage of treatment interventions,” kata AADK lagi.
Jelas AADK lagi, RPDK memberi peluang kepada peserta untuk mengikuti aktiviti dalam kehidupan sebenar dengan mengikuti rawatan dan pemulihan.
Pada masa yang sama menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelajar, anak, ketua keluarga, suami atau isteri serta pekerja.
“Pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi melalui sesi – sesi yang dihadiri terus dipraktikkan dalam kehidupan sebenar dengan mendapat sokongan dari ibu bapa, ahli keluarga, significant others dan majikan.
“Oleh kerana konsep rawatan dan pemulihan yang luas serta komprehensif, selaras dengan keperluan klien yang multifactorial, AADK telah berterusan melibatkan ahli masyarakat dan sumber-sumber komuniti dalam program RPDK,” katanya lagi. – MalaysiaGazette