KUALA LUMPUR – Sebuah bot membawa muatan lebihan penumpang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya dalam OP EHSAN dan OP TIRIS 3.0 menahan bot penumpang itu sekitar 1 petang kira-kira 0.3 batu nautika Selatan Tanjung Harapan semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 45 orang penumpang yang melebihi had dibenarkan dan tidak memakai jaket keselamatan.
“Bot penumpang itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru warga tempatan masing-masing berusia 19 dan 40 tahun.
“Kesemua penumpang dibawa ke Jeti Pulau Ketam diiring dengan aset Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Abdul Muhaimin, nakhoda, kru dan bot ditahan sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk diserahkan bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan iaitu melebihi 11 orang dan tidak memakai jaket keselamatan. – MalaysiaGazette