JASIN – Seorang pemilik rumah sewa terkejut menerima ‘hadiah’ sebutir bom mortar dipercayai milik bekas penyewanya di Taman Bukit Tembakau, Merlimau di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, bom mortar 60mm jenis Practice Inert itu ditemukan jiran pemilik ketika mengemas rumah teres setingkat berkenaan selepas penyewanya berpindah Januari lalu.
Menurutnya, terdahulu pihaknya menerima laporan awal daripada anggota Balai Polis Merlimau daripada seorang wanita berusia 65 tahun mengatakan menerima panggilan telefon daripada jirannya mengenai penemuan objek menyerupai bom.
“Sepasukan polis termasuk Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kemudian tiba dan membuat kawalan keselamatan di lokasi.
“UPB mengesahkan ia adalah bom jenis Mortar 60mm Practice Inert yang digunakan untuk latihan dengan ukuran panjang 300 milimeter (mm) dan diameter 60 mm namun tidak mengandungi bahan letupan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, bom berkenaan kemudian telah dibawa oleh UPB ke IPK Melaka untuk tindakan pelupusan.
Jelas Ahmad Jamil, hasil siasatan mendapati rumah teres setingkat itu yang disewakan pemiliknya sudah tidak berpenghuni hampir tujuh bulan selepas penyewa sebelum ini yang tinggal di situ sejak 2022 berpindah pada Januari lalu.
“Sejak itu, pemilik tidak lagi menghubungi bekas penyewanya itu sehinggalah Sabtu lalu dia meminta jirannya itu bantu mengemas barang peribadi milik bekas penyewanya itu yang ditingggalkan dalam rumah tersebut.
“Ketika itulah, jirannya itu menjumpai objek berkenaan sebelum menghantar gambar kepada pemilik rumah tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette