Mamat Exist

JOHOR BAHRU – Vokalis Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, yang sebelum ini berdepan pertuduhan mengambil dadah pada 2019 berjaya dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukumannya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Mamat dijatuhi hukuman denda RM4,000 dan dua tahun pengawasan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong dekat Pahang untuk rawatan dan pemulihan, menurut laporan BH Online.

Bagi pertuduhan pertama, pelantun lagu ‘Untukmu Ibu’ itu membuat pengakuan bersalah dalam pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Mengikut pertuduhan, Mamat didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah jenis Methamphetamine, kira-kira jam 2 pagi pada 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Tuduhan sebelum ini dilakukan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan menerusi peguamnya.

Pada awal tahun ini, Mamat yang berdepan dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 2019 mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Fatimah Zahari dan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya. – MalaysiaGazette