Muhammad Haziq Azfar
Muhammad Haziq Azfar

KUALA LUMPUR – Mana-mana wakil dalam kerajaan harus terus mendokong usaha pelaksanaan subsidi bersasar dan tidak terikut-ikut dengan dakyah pembangkang yang anti terhadap reformasi fiskal, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Menurut Pengarah Komunikasinya, Haziq Azfar beberapa reaksi sinis wakil rakyat kerajaan mengaitkan usaha penyasaran subsidi terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap ternyata tidak produktif.

Ia menambah beban terhadap moral kerajaan perpaduan untuk terus melaksanakan reformasi.

“Sudah pasti tiada mana-mana pentadbiran kerajaan persekutuan yang berani melakukan penyasaran fiskal sebagai salah satu langkah mereformasi fiskal kerana kompleksiti menguruskan reaksi orang awam.

“Walau bagaimanapun, hanya dengan mereformasi fiskal, pengagihan kekayaan lebih adil dapat dibuat, keyakinan terhadap pelabur ditingkatkan seterusnya menambah peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan meningkatkan permintaan seterusnya memulihkan prestasi Ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Haziq berkata, wakil kerajaan perlu terus cekal dan istiqamah mendokong usaha penyasaran subsidi oleh kerajaan serta tidak menyerang mana-mana pimpinan Kerajaan yang melakukan perkara yang betul demi kepentingan rakyat kebanyakan.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan itu menunjukkan isyarat jelas penolakan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan Madani seperti cukai dan penyasaran subsisi diesel.

Malah, katanya, calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin menerima kesan daripada dasar-dasar kerajaan perpaduan dan kekalahan itu juga didakwa mempunyai kaitan daripada pendedahan laporan Ketua Audit Negara tentang penyelewengan dan ketirisan 11 projek syarikat kerajaan perpaduan.

PRK Sungai Bakap menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas, Abidin Ismail memperoleh 14,489 undi, dengan majoriti 4,267 undi berbanding lawannya, calon PH daripada PKR Joohari Ariffin, yang memperoleh 10,222 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast