KUALA LUMPUR – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berada dalam sindrom penafian apabila didakwa gagal menyembunyikan rasa kesal terhadap politik perkauman sempit dan politik fitnah rentetan kekalalan Pakatan Harapan (PH) di Sungai Bakap.
Bagaimanapun bekas Setiausaha Agung UMNO itu tidak menyalahkan Nurul Izzah kerana bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan telah sekian lama membina tembok prejudis sedemikian yang dulunya ditujukan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan kini cuba dialihkan kepada Perikatan Nasional (PN).
“PH dan BN cuba amplify (menguatkan) naratif tersebut seperti mana mereka cuba mengemukakan fenomena Gelombang Hijau,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Menurut Annuar, situasi sebenar adalah PH dan BN gagal mengenali dan menyelami gerakan Pas, Bersatu dan gabungan PN.
Ujarnya, label-label yang cuba ditampal melalui ejen-ejen PH dan BN adalah label imaginasi dan illusi sendiri sedangkan PN terutama Pas sudah bergerak jauh dan tidak terbabit dengan politik sedemikian.
“Malah politik perkauman dan fitnah itu begitu sinonim dengan politik liberal PH BN sekian lama. Itu politik Machiavelli… politik matlamat menghalalkan cara.
“Sementara politik berteraskan Islam tidak mengizinkan perkara itu. Rakyat rata rata dapat melihat perkara tersebut,” katanya.
Menurut Annuar, PN sebagai gagasan paling baharu berbanding PH atau BN komited untuk membawa politik lebih segar, lebih berwibawa dan lebih berintegriti berbanding cara politik lapuk dan toksik.
Jelasnya, PN juga sedang menggarap politik yang lebih luhur bersempadankan kecacatan dan kejengkelan politik order lama DAP, PKR dan UMNO untuk diganti dengan politik order baharu pimpinan Pas dan Bersatu bersama parti parti lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat keseluruhannya.
“PN akan direkayasa secara berterusan untuk menjadikannya wadah politik aspiras nasional untuk semua kaum dan agama.
“Proses ini sedang berjalan secara berperingkat sehingga kita mampu membina satu politik baharu yang benar-benar mampu membawa negara ke tahap negara makmur bersendikan prinsip adil, prihatin dan berkebajikan, Insya-Allah,” katanya.
Tambah Annuar, dalam membiarkan PH dan BN dengan paluan dan dendangan lama mereka, PN sebaliknya memilih untuk bergerak ke hadapan selari dan serasi aspirasi rakyat Malaysia dengan mendapat keredaan Allah SWT. – MalaysiaGazzete