Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Polis menerima laporan daripada seorang wanita mendakwa telah dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,  Asistent Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismajl berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga peniaga berusia 25 tahun pada  pukul 6 petang.

“Siasatan awal, mangsa telah keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi dan dimarahi suspek berusia 37 tahun akibat perselisihan faham pada pukul 3.38 pagi.

“Mereka bertemu di Ara Damansara dan mangsa telah dipukul serta ditumbuk dimata sebelah kiri selepas masuk ke dalam kereta suspek.

“Mangsa dan suspek telah menjalinkan hubungan sebagai kekasih kira-kira enam bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Shahrulnizam, polis akan meminta perintah untuk siasat (OTI) daripada Pejabat Pendakwa Raya bagi memanggil suspek memberi keterangan dan membantu siasatan.

Kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” jelasnya.  – MalaysiaGazette.