SHAH ALAM – Baru-baru ini ada dakwaan mengenai penutupan salah satu daripada pintu pagar Tanah Perkuburan Seksyen 21 di sini sehingga menyukarkan orang ramai.
Pengadu mendakwa penutupan tersebut menyusahkan kerana hanya ada satu sahaja laluan masuk iaitu dari pintu utama.
Sehubungan itu, MalaysiaGazette turun padang membuat tinjauan dan mendapati salah satu pintu pagar yang didakwa ditutup sejak minggu lalu telah pun dibuka semula.
Salah seorang pekerja tanah perkuburan tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Iwan berkata, penutupan pintu pagar sebelum ini dilakukan oleh pihak pengurusan bagi mengelak pencerobohan pihak tidak sepatutnya ke kawasan kubur tersebut.
Dalam masa yang sama pihak pengurusan masih membuka pintu utama yang boleh diakses ke Fasa 1,2,dan 3 tanah tersebut secara mudah termasuk kemudahan parkir yang luas.
Sehubungan itu, katanya, tiada masalah untuk para waris datang menziarah pusara di situ.
“Sebelum ini, ada yang masuk dari pintu pagar yang ditutup sebelum ini pada waktu malam, jadi kami ingin mengelak pencerobohan dan ini juga demi isu keselamatan sebenarnya.
“Tapi kami maklum ada seorang tertentu yang membuat aduan selepas kami menutupnya pada 27 Jun lalu kami buka semula pada 3 Julai lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut beliau, sebenarnya tanah perkuburan tersebut mempunyai sistem teratur dan kemudahan demi keselesaan para waris yang menziarah.
“Kami di sini sebenarnya tahu, pengadu turut menyuarakan isu soal paip namun sebenarnya di sini kami ada sediakan lebih kurang 50 paip bagi kemuduhan waris selain bekas air yang turut disediakan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan ada pihak yang kurang senang dengan pengurusan tanah perkuburan di situ sehingga mengundang pelbagai reaksi.
Sebagai rekod, tanah perkuburan bersepadu itu diurus tadbir oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).- MalaysiaGazette