Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan diiringi pegawai SPRM hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkaitan Projek Inisiatif Jana Wibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung  12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya ketika ini.

Untuk makluman, Adam Radlan sedang berdepan pertuduhan ini yang berkaitan projek Jana Wibawa.

Ketika prosiding, peguam bela Datuk Seri Rajan Navaratnam memaklumkan pihaknya telah menyerahkan representasi dan sedang menunggu keputusan permohonan mereka.

Manakala pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh mengesahkan representasi itu dan memohon tempoh sebulan dari tarikh hari ini bagi keputusan tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin kemudian menetapkan prosiding seterusnya pada 7 Ogos depan manakala pengurusan kes sehari sebelum perbicaraan.

Suzana juga menetapkan tarikh bicara lain iaitu pada 13 November 2024 dan tarikh bicara pada tahun hadapan (2025) bermula 15 Januari serta 19, 20, 24, 25 Mac; 16, 17 Jun, 1 hingga 3 Julai dan 4,5, 6, 11, 12 dan 13 Ogos.

Adam Radlan mengaku tidak salah pada tahun lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung enam tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.6 juta.

Pada 22 Februari tahun lalu, Adam Radlan didakwa atas dua tuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd mendapatkan dua projek.

Ahli perniagaan itu juga dihadapkan sebanyak tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen sebelum ini. – MalaysiaGazette