Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan peraturan penutupan pintu pagar balai polis di seluruh negara selepas 10 malam tidak sama sekali menjejaskan proses perkhidmatan pihak berkuasa kepada masyarakat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, arahan itu akan dilaksanakan selepas prosedur operasi standard (SOP) disiapkan oleh Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Katanya, sehingga kini arahan penutupan pintu pagar balai polis itu dilaksanakan di kawasan-kawasan terpencil atau luar bandar sahaja susulan insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru pada 17 Mei lalu.

“Buat masa ini, pelaksanaan arahan itu hanya tertumpu di balai-balai yang hanya mempunyai kekuatan penugasan dua anggota pada waktu malam.

“Ia akan membabitkan balai polis yang mempunyai penugasan dua anggota iaitu seorang anggota bertugas sebagai prowler (balai pengawal) manakala seorang lagi bertugas di bahagian inkuiri (kaunter laporan polis).

“Secara amnya, penugasan dua anggota ini wujud di balai polis di kawasan terpencil dan luar bandar namun ia juga turut merisikokan keselamatan anggota yang terlibat terhadap sebarang ancaman seperti yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Razarudin, penutupan pintu pagar balai polis bukannya bermaksud operasi terus ditutup kepada akses masyarakat namun  ia tetap akan beroperasi secara normal dalam memudahkan proses penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, SOP pelaksanaan arahan ini akan dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Seri Azmi Kassim tidak lama lagi sebelum ia dlaksanakan secara berperingkat di balai-balai terutamanya kawasan terpencil dan luar bandar.

“Seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution hari ini di Parlimen, kita seharusnya mengimbangi bahawa balai polis adalah tempat rakyat mengadu dan pada masa sama turut menjadi sasaran ancaman, jadi kita imbangkan antara dua keperluan ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Razarudin turut memaklumkan sebarang proses pengaduan dan membuat laporan di Balai Polis berjalan secara normal seperti sedia kala.

Orang ramai disarankan agar meletakkan kenderaan mereka di kawasan lapang yang tidak mengganggu kelancaran lalu-lintas tidak jauh dari kawasan balai polis ketika berurusan selepas 10 malam setiap hari.

“Secara normal, anggota yang berugas di pos pengawal balai polis akan merekodkan tujuan kehadiran ke Balai Polis sebelum dibenarkan masuk untuk berurusan dengan anggota inkuiri,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pintu pagar semua balai polis akan ditutup selepas 10 malam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast