Kesemua tertuduh, empat beradik dan seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki tahun lalu.

MELAKA – Empat beradik dan seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki pada tahun lalu.

Tertuduh, Azlan Ahmad, 39, dan empat beradik, Amranshah Makbolshah, 45, Azalan Shah, 41, Adanan Shah, 42 dan Amir Shah, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Difahamkan, pergaduhan tercetus apabila kesemua tertuduh memukul mangsa berpunca daripada bunyi bising ekzos motosikal anaknya.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama-sama telah menyebabkan cedera parah ke atas Azlanee Mamat, 53.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan medan selera Pantai Peringgit dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8.30 malam 13 Jun 2023.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan setiap tertuduh dijamin RM7,000.

Bagaimanapun peguam, Zahidah Md Zaman menyifatkan jumlah berkenaan terlalu tinggi dan diluar kemampuan anak guamnya yang ada antaranya bergelar asnaf dan berniaga burger.

Setiap tertuduh juga jelasnya, hanya mampu menyediakan wang jaminan RM1,000 malah khidmat guaman yang ditawarkannya juga tidak dikenakan bayaran.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Khairunnisak membenarkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM2,500.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula 22 Ogos ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette