MELAKA – Seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menampar dan menarik rambut pelajarnya dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Heirman Ishak, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Difahamkan, kejadian berpunca apabila tertuduh yang juga guru disiplin ketika kejadian berang apabila mangsa meminta kunci bilik multimedia untuk mengambil botol air yang tertinggal.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun ketika kejadian dengan cara menampar muka beberapa kali dan menarik rambutnya.
Perbuatan itu dilakukan di bilik guru sebuah sekolah menengah dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.30 pagi 9 Disember 2022.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun peguam Nor Azmi Mohd Arif memohon jaminan yang rendah kerana mangsa adalah pelajarnya, selain tertuduh perlu menanggung dua anak yang masih belajar selain menjaga ibu yang sakit.
Selepas mendengar hujahan kedua-kedua belah mahkamah menetapkan tertuduh jaminan RM2,000 dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula 22 Ogos ini. – MalaysiaGazette