MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menggesa pengguna di negeri ini membuat aduan rasmi bagi membantunya ‘memburu’ peniaga durian yang membuat iklan berbentuk umpanan sebagai pelaris jualan.
Pengarahnya Norena Jaafar, walaupun tidak menerima sebarang aduan pengguna setakat ini, pihaknya melihat ada segelintir peniaga melakukan taktik berkenaan yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 13 (1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Kalau tidak dapat hadir ke pejabat KPDN, boleh salurkan maklumat melalui media sosial bukannya sekadar berkongsi di sosial media sehingga ianya tular.
“Kita bimbang selepas kes sebegini tular, peniaga berkenaan akan menghapuskan bukti dan kita tidak dapat membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Pemeriksaan Musim Raja Buah di sekitar Cheng, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Norena berkata, setiap aduan daripada pengguna akan diambil tindakan dalam tempoh 24 jam sekali gus memberi amaran tegas kepada peniaga untuk sentiasa mematuhi undang-undang.
Menurutnya, peniaga yang membuat iklan berbentuk umpanan (iklan umpanan) dengan niat untuk tidak membekalkan seperti mana diiklankan boleh dikenakan tindakan di bawah bawah Seksyen 13 (1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Macam tadi ada peniaga yang meletakkan tanda harga dengan tulisan sangat kecil sedangkan sepatutnya mereka perlu meletakkan tanda yang besar dan jelas.
“KPDN Melaka akan terus memperhebatkan usaha mengesan peniaga tamak ini termasuk menutup dan menyita semua jualan mereka di bawah undang-undang sedia ada untuk pendakwaan kes di mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette