Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi pendengaran permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan empat pertuduhan kes salah guna kuasa program Jana Wibawa di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 09 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini mendengar permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan kebenaran menyemak keputusan panel sebelum ini yang mengembalikan semula empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Pada Februari lalu, tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah membuat keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin.

Prosiding hari ini akan mendengar bantahan awal dikemukakan oleh pihak pendakwaan dengan alasan permohonan itu sangat remeh selain menyalahgunakan proses mahkamah.

Bekas Perdana Menteri itu tiba di Istana Kehakiman diiringi Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada 16 April lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu memohon lima hakim untuk mendengar permohonan semakannya.

Muhyiddin dalam notisnya mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal atau menyalahi undang-undang kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Muhyiddin berdepan dakwaan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.