Kredit: Polis Tapah

IPOH – Seorang penolong pegawai perubatan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah ambulans swasta dan treler di Kilometer 330.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Tapah, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata wanita berusia 30 tahun yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan itu tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kira-kira 4.30 pagi satu kemalangan berlaku membabitkan sebuah ambulans yang dipandu lelaki berusia 41 tahun melanggar bahagian belakang sebuah treler yang dipandu lelaki berumur 32 tahun di laluan sebelah kiri.

“Semasa kejadian, ambulans tersebut dalam perjalanan balik dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Kuala Lumpur ke Ipoh setelah selesai menghantar pesakit, manakala treler tersebut dalam perjalanan dari Klang, Selangor menghala ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menghantar barangan, ” katanya dalam kenyataan.
Mohd Naim berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat, manakala pemandu ambulans hanya mengalami kecederaan ringan dan pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang menyaksikan kemalangan tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-2087919 bagi membantu siasatan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast