KUALA LUMPUR – Pintu pagar semua balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas 10 malam sebagai langkah keselamatan susulan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Mei lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu diambil untuk memperketatkan prosedur operasi standard bagi semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan premis utama polis serta menjaga keselamatan anggota bertugas.
Beliau memberitahu, ia juga bertujuan untuk mengimbangi keperluan masyarakat yang menggunakan balai polis dan menjaga keselamatan balai yang boleh menjadi sasaran serangan.
“Ekoran peristiwa di Balai Polis Ulu Tiram, tindakan segera PDRM adalah memperketatkan prosedur operasi standard bagi semua kawasan IPD, balai dan premis utama polis di bawah arahan pentadbiran agar perbaiki beberapa arahan.
“Susulan isu sama, arahan pentadbiran perintah tetap Ketua Polis Negara turut memasukkan supaya balai polis ditutup selepas 10 malam.
“Kita kena imbangi balai polis sebagai tempat rakyat mengadu dan dalam masa sama balai polis juga turut jadi sasaran. Jadi, kita kena imbangi kedua-duanya,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) mengenai langkah untuk memperketatkan keselamatan di balai polis di Malaysia susulan insiden baru-baru ini.
Pada 18 Mei lalu, kes di Ulu Tiram menyaksikan dua anggota polis terkorban selepas diserang seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang dengan suspek juga meninggal dunia.
Serangan itu turut mengakibatkan seorang lagi anggota polis cedera akibat terkena tembakan di bahu. – MalaysiaGazette