KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan operasi sitaan dan memindah halangan di yang dilakukan oleh peniaga sekitar Taman Maluri, semalam.
DBKL berkata, operasi dilakukan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Titiwangsa yang membabitkan peniaga yang beroperasi sekitar Jalan Jejaka 7 dan Jalan Jejaka 9.
“Melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL menjalankan operasi sitaan dan pindah halangan menerusi peruntukan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya menerusi kenyataan.
Ujarnya, antara barangan yang disita adalah meja, kerusi plastik, dapur beroda, dan peralatan perniagaan yang lain.
“Barangan dan peralatan yang disita, dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Sementara itu DBKL memberi jaminan akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur demi memastikan tiada peniaga melanggar peraturan. – MalaysiaGazette