Tertuduh, Norhana Adam, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai staf Bank Negara untuk menipu ibu angkatnya menyebabkan kerugian hampir RM40,000 empat tahun lalu.

MELAKA – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai staf Bank Negara Malaysia untuk menipu ibu angkatnya menyebabkan kerugian hampir RM40,000 empat tahun lalu.

Tertuduh, Norhana Adam, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Difahamkan, tertuduh memberi alasan kepada ibu angkatnya itu ada membuat pinjaman bank bagi melangsaikan hutangnya kepada warga emas itu.

Mengikut pertuduhan tertuduh telah memperdayakan seorang wanita warga emas berusia 64 tahun dengan menyamar sebagai staf Bank Negara bagi meminta wang proses pinjaman yang dilakukan tertuduh.

Perbuatan itu mendorong wanita tersebut membuat bayaran berjumlah RM39,450 sebanyak 19 kali ke dalam akaun bank milik tertuduh yang mana mangsa tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Kampung Alai dalam daerah Melaka Tengah antara 16 November 2020 hingga 9 Februari 2021.

Sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh sudah bercerai dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM40 sehari selain menyara ibu bapa.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak menetapkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula 19 Ogos ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Media pada 21 Jun lalu melaporkan tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menipu rakannya yang juga warga emas sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM416,000, tahun lalu.

Tetuduh ketika itu menggunakan nama samaran Manja Bunga Lestari dengan menyamar sebagai pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast