Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperkasakan Kod Sukan Selamat untuk mengelak sebarang tajaan aktiviti sukan melibatkan syarikat tembakau, rokok elektronik atau vape dan alkohol.

Menurut menterinya, Hannah Yeoh, pihaknya tidak akan memberikan sebarang peruntukan kepada mana-mana persatuan atau aktiviti yang dipercayai ditaja oleh syarikat-syarikat sebegitu.

“Ini termasuk mereka yang memohon Geran Padanan Sukan (GPS)  dan Dana Sukan Komuniti (DSK) di KBS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Kawalan Merokok anjuran Pusat Perubatan Cengild GI, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Menurut Hannah, sebarang aktiviti yang menimbulkan syak wasangka selepas permohonan diluluskan akan disiasat dan jika apa yang dijangka itu benar, peruntukan akan dibatalkan.

“Sebagai sebuah kementerian yang mempromosikan gaya hidup sihat, kami melarang rokok, vape dan alkohol untuk dibawa ke dalam stadium kerana boleh mendatangkan bahaya serta tidak keselesaan kepada pengunjung yang lain,” katanya.

KBS, kata Hannah, bukan sahaja telah menambah baik Kod Sukan Selamat tetapi juga telah mengawal peruntukan untuk memastikan setiap persatuan peroleh dana yang mencukupi.

“Banyak persatuan yang tidak cukup dana dan bergantung kepada peruntukkan yang diberikan KBS, sebab itu kami adakan kawalan itu.

“Mengenai isu jual vape dalam stadium yang terjadi pada Februari, saya akan periksa dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) jika ada apa-apa tindakan terhadap pihak yang terlibat,” tambahnya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan sebuah acara sukan yang mendapat tajaan daripada sebuah syarikat vape.

Mengulas mengenai acara hari ini, Hannah menegaskan, pihaknya akan menguatkuasakan lagi pelaksanaan Rakan Muda pada tahun ini untuk mengelakkan penglibatan golongan belia dalam sebarang gejala sosial. – MalaysiaGazette