Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Sejumlah RM11.52 bilion telah dipindahkan ke Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 24 Jun lalu.

Kementerian Kewangan berkata, pemindahan itu dilakukan 3.61 juta atau kira-kira 27.8 peratus daripada 13.01 juta pencarum KWSP berumur bawah 55 tahun.

Katanya, daripada jumlah terbabit, 3.16 juta atau 24.3 peratus ahli KWSP di bawah usia 55 tahun telah melakukan pengeluaran daripada Akaun 3 berjumlah RM7.81 bilion.

Tambah Kementerian itu lagi, kira-kira RM5.12 bilion telah juga dipindahkan ke Akaun 1 atau akaun persaraan.

“Menerusi akaun fleksibel (Akaun 3), ahli-ahli KWSP boleh mengakses simpanan mereka pada bila-bila masa dan untuk tujuan apa sekali pun tanpa had.

“Sehubungan itu, tiada lagi keperluan untuk meneruskan skim pengeluaran bersasar,” kata Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.

Kementerian Kewangan menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang bertanyakan status pembayaran Akaun 3 bermula 11 Mei lalu.- MalaysiaGazette