Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) kecewa dengan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang membuat keputusan mengekalkan enam kerusi Ahli Parlimen gabungan itu yang bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu nyata bercanggah dengan peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan Speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara.

“Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan
menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Media hari ini melaporkan enam kerusi disandang enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak perlu dikosongkan.

Ia setelah Johari memberitahu Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee mengenai keputusan itu telah diserahkan menerusi e-mel dan whatsApp.

Muhyiddin berkata Johari mengemukakan surat kepada Bersatu lewat petang semalam yang memberikan alasan bahawa tidak berlaku kekosongan kepada keenam-enam kerusi berkenaan.

Kerusi-kerusi berkenaan adalah adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Bersatu akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Johari tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen parti itu yang berpaling tadah.

Jelas Muhyiddin, keputusan Johari membuat tafsiran yang mencemar peruntukan antilompat parti harus dicela.

“Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah- langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan
Persekutuan dan Perlembagaan parti.

“Perikatan Nasional mengingatkan semua parti politik dan ahli dewan rakyat bahawa kita telah meluluskan pindaan perkara 49A secara sebulat suara.

“Maka, tindakan YB Speaker membuat tafsiran yang mencemar peruntukan lompat parti tersebut harus dicela,” kataya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. PRK Nenggiri sepatutnya dibatalkan kerana pertimbangan beremosi bodoh Speaker DUN. Ia menunjukkan nafsu jahat dan jijik PAS Kelantan.

Comments are closed.