Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, bercakap pada sidang media berkenaan Program dan Liputan Media Sempena Program "Anak Syurga" di Dewan D'Cerana IPK Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2024.

SHAH ALAM – Polis telah mendapat Perintah Untuk Menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi merakam percakapan seorang pelakon lelaki didakwa memukul teman wanitanya di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang ditemui selepas Program Anak Syurga bersama Al- Kauthar Eduqids berkata: “Ya sudah dapat (OTI),”.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, Pegawai Penyiasat telah menghubungi pelakon tersebut termasuk melalui aplikasi Whatsapp namun tidak berjawab dan dibalas.

“Kita akan membuat panggilan memberi keterangan kepada beliau untuk hadir mengikut seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah dan beliau sedang dikesan untuk penyampaian panggilan tersebut,” jelasnya menerusi hantaran Whatsapp.

Menurut Shahrulnizam, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan kakak mangsa sebagai saksi dan polis sedang menunggu laporan perubatan bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan lengkap.

Pada 7 Julai lalu, seorang wanita dipukul teman lelakinya yang juga pelakon di Ara Damansara, Petaling Jaya.

Jelas Shahrulnizam, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

“Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita terbabit untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara kira-kira jam 4 pagi,” katanya.

Shahrulnizam berkata, sebaik tiba, mangsa berumur 25 tahun itu masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette