ALOR GAJAH – Berang kerana kebun duriannya dirosakkan lembu menjadi punca seorang warga emas wanita berkomplot menyembelih haiwan itu sebelum mengagihkannya dagingnya kepada penduduk Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong di sini, Jumaat lalu.
Perbuatan suspek berusia 69 tahun itu dan menantu rakannya lelaki warga Indonesia berusia 30-an terbongkar selepas pemilik lembu berkenaan menjumpai kepala lembunya yang sudah disembelih di kebun durian milik suspek.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada peladang berusia 38 tahun itu pada pukul 8.54 malam Jumaat lalu.
Menurutnya, laporan dibuat mengenai kehilangan seekor daripada 84 ekor lembu ternakannya yang disyaki berlaku kira-kira jam 5.30 petang 4 Julai lalu sehingga 6.30 petang Jumaat lalu
“Pengadu mendakwa seekor lembu betina miliknya disedari hilang kira-kira pukul 6.30 petang dan terkejut apabila ternampak satu kepala lembu berwarna coklat tanpa badan bertanda nombor dikeluarkan Jabatan Veterinar miliknya berada di kebun durian suspek.
“Pemilik tanah iaitu warga emas berkenaan kemudian dikatakan mengaku lembu pengadu telah disembelih oleh menantu rakannya seorang warga Indonesia kerana haiwan itu telah memakan tanaman duriannya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tambahnya, pengadu tidak berpuas hati dengan tindakan itu yang menyebabkannya kerugian kira-kira RM3,000 selain mendakwa banyak lembu miliknya dianggarkan kira-kira 20 ekor telah hilang sejak setahun lalu.
Ashari berkata, betindak hasil laporan polis diterima, warga emas wanita dan lelaki warga Indonesia berkenaan ditahan di rumahnya kira-kira pukul 7.30 malam Sabtu lalu.
“Hasil siasatan, suspek turut mengaku daging lembu yang disembelih itu telah diagih kepada penduduk kampung.
“Tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek direman sehingga 10 dan 12 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/428 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette