Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memberikan cenderahati pada Program dan Liputan Media Sempena Program "Anak Syurga" di Dewan D'Cerana IPK Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 10 JULAI 2024.

SHAH ALAM – Polis akan menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) untuk menyiasat penemuaan bagasi berisi RM500,000 di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, akta tersebut akan digunakan sekiranya pihak polis tidak dapat mengesan sumber wang tunai itu.

“Setakat ini, polis belum mendapat maklum balas lagi (daripada pihak pendakwa raya).

“(Jika tidak dapat kesan sumber) kita akan siasat di bawah kesalahan mengubah wang haram di bawah AMLA, ada prosedurnya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada wang terbabit boleh dilucuthak jika siasatan dijalankan di bawah AMLA, Hussien menjawab: “Boleh (dilucuthak).”

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Program “Anak Syurga” Bersama Al-Kuathar Eduqids di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pengarah syarikat kayu balak yang mendakwa pemilik bagasi mengandungi wang RM500,000 yang ditemui pada 19 Mac lalu telah tampil memberi keterangan.

Individu terbabit mendakwa tidak menyedari bagasi yang mengandungi wang diambil dari rumah rakannya terletak di atas pusat beli-belah berkenaan tidak dimasukkan ke dalam kenderaannya.

Untuk rekod, pada 19 Mac lalu, seorang pengawal keselamatan menemui bagasi berwarna merah jambu dan putih itu sekitar jam 8 pagi, di sebuah pusat beli-belah di Damansara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast