Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR- Seramai 400 lagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A mendaftar Program Matrikulasi hari ini dan esok.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu termasuk 367 pelajar bukan Bumiputera.

Beliau turut memberi jaminan isu keciciran pelajar cemerlang SPM yang belum ditawarkan kemasukan ke program matrikulasi akan diselesaikan selewat-lewatnya minggu ketiga Ogos.

Tambahnya, terdapat 712 pelajar lagi yang masih belum mendapat tawaran.

“Kenapa minggu ketiga Ogos? Kerana ada tawaran UPU pada 6 Ogos (ini). Jadi kita bagi pilihan kepada mereka sama ada mereka nak pilih UPU atau Matrikulasi.

“Mereka akan mendapat tawaran ini kedua-duanya. UPU mereka dapat kalau mereka mohon tapi matrikulasi yang mereka mohon awal akan tetap dapat juga. Jadi ada pilihan sama ada mereka nak pergi UPU atau pun Matrikulasi,” katanya semasa sesi kamar khas Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut pengambilan pelajar ke Program Matrikulasi, Fadhlina menjelaskan ia kekal mengikut kuota sedia ada dan proses meritokrasi.

Selain itu, beliau berkata pelajar dari kumpulan pendapatan tertentu juga diberi keutamaan untuk diambil mengikuti program terbabit.

“Saya ingin tekankan pengambilan ke Program Matrikulasi mengambil kira anak-anak daripada pelbagai kumpulan pendapatan.

“Dasar pengambilan mengambil kira 60 peratus (dari golongan) B40 dan 40 peratus (dari golongan) M40 dan T20 agar semua golongan sasar berpeluang untuk mengikuti Program Matrikulasi,” katanya.

Mengenai jumlah keseluruhan pelajar cemerlang 10A SPM memohon ke Program Matrikulasi, Fadhlina berkata ia membabitkan seramai 4,877 orang termasuk 2,610 pelajar Bumiputera.

Untuk ambilan pertama kemasukan ke program terbabit, beliau berkata ia membabitkan seramai 3,684 orang, mencakupi 2,586 pelajar Bumiputera dan 1,188 pelajar bukan Bumiputera.

“Pengambilan seluruh Malaysia. Kita ada (hampir) 11,000 anak-anak kita dapat semua A. Jadi memang tahap kepandaian mereka ini sudah sampai ke tahap yang memang sangat pandai.

“Jadi memang menjadi satu tanggungjawab kita untuk memastikan mereka yang cemerlang ini terus mendapat tempat.

“Tetapi yang kita nak tumpukan yang dapat keputusan cemerlang 10A ke atas ini yang memang memohon dan mendapat tawaran. Makanya yang memohon 4,000 lebih kemudian yang mendapat tawaran 3,684 orang,” katanya.-MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITAN

Lepasan SPM 10A masih belum diterima masuk Matrikulasi dibahas di Kamar Khas

1 Komen

  1. Pandai yg ditafsirkan pada level sekolah..tak sama dgn level universiti..tu sebab universiti2 tersohor mrk tak guna kelulusan sekolah ni sahaja tp mrk gunakan test mereka sendiri..nama jaa 10 A..sesetengahnya masuk U terus out..apa benda yang A berlambaknya sungguh pelik

Comments are closed.