Kumar menunjukkan nota ugutan digunakan along untuk menakutkan peminjam, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Menawarkan upah RM400 untuk menyimbah simbah cat merah dan RM700 untuk membaling molotov cocktail di rumah peminjam wang along.

Tawaran tersebut dibuat menerusi iklan dalam Facebook secara terbuka yang bertujuan menakut-nakutkan peminjam serta ahli keluarga mangsa.

Modus operandi tersebut didedahkan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar selepas polis negeri ini berjaya memberkas enam ahli sindiket along tersebut yang melakukan perbuatan khianat itu.

Menurut Kumar, dua pegawai dan 15 pegawai dari Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat terlibat menangkap enam suspek itu dari 28 Jun hingga 1 Julai lalu.

“Menerusi serbuan di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, seramai enam warga tempatan berusia 35 hingga 51 tahun dipercayai ahli sindiket kumpulan along yang menerima upah membuat ugutan jenayah berjaya ditahan.

“Mereka menyimbah cat dan khianat dengan menggunakan api ke rumah kediaman milik mangsa-mangsa yang gagal membuat pembayaran pinjaman,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, menerusi serbuan tersebut pihaknya turut merampas antaranya tiga kereta, enam telefon bimbit pelbagai jenis, tiga helai nota ugutan, dua tin cat dan sebotol tinner.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan sindiket along itu bergiat aktif melakukan jenayah di beberapa negeri seperti di Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur sejak April lalu.

Kumar menjelaskan modus operandi digunakan along untuk ahli sindiketnya membaling cat dan molotav cocktail, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

“Menerusi penangkapan enam ahli sindiket along ini, polis Johor berjaya menyelesaikan 24 kes yang melibatkan kontinjen Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak dengan modus operandi yang sama,” ujar beliau.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati lima daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

Kumar berkata, semua suspek tidak bekerja dan lima daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Semua suspek katanya, direman sehingga 14 Julai inindan kes disiasat bawah Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan selain Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, bagi tempoh Januari sehingga Mei lalu, sebanyak 1,267 kes dilaporkan dan seramai 347 individu ditangkap. – MalaysiaGaze