Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir pada Program Global Madani Forum 2024 di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain dalam Perlembagaan berhubung keputusan Speaker mengekalkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu semalam.

Menurut Perdana Menteri, keputusan dibuat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul semalam itu adalah selepas beliau membaca keseluruhan Perlembagaan berhubung isu terbabit.

“Kalau tafsiran Perlembagaan dan undang-undang, ia dibaca keseluruhannya, jangan dipilih satu dan ditinggalkan yang lain seperti dilakukan oleh kepimpinan Bersatu semalam.

“Saya tak tahu mengapa dia (Muhyiddin) pilih untuk baca sebahagian dan tinggal sebahagian, mungkin itu memang kaedah kerja politik Bersatulah.

“Sebab itu dalam kempen (politik), dia menang, dia cerita sebahagian…macam BlackRocklah, dia cerita sebahagian dan tinggalkan sebahagian, itu tak betul, (tetapi) baca yang sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majis Global Madani Forum 2024 di sini, hari ini.

Anwar Ibrahim diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Na’im Mokhtar berbual mesra bersama Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Prof Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi serta yang lain pada Program Global Madani Forum 2024 di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2024.

Anwar ditanya berkenaan kenyataan pemimpin pembangkang khususnya Bersatu yang mendakwa Johari bertindak melangkaui Perlembagaan apabila menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam Ahli Parlimennya yang berpaling tadah dikosongkan.

Semalam, dalam sidang akhbarnya, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas kerusi Ahli Parlimen hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan Muhyiddin yang mana sewaktu akta lompat parti tersebut dibincangkan untuk dibahaskan, Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu sebagai pembangkang tegas mahu memasukkan klausa mana-mana wakil rakyat akan tergugur secara automatik sebagai ahli Dewan Rakyat sekiranya dipecat oleh partinya.

Bagaimanapun, tegas beliau, perkara itu ditentang oleh Bersatu ketika itu dan disebabkan itu dimasukkan ke dalam `terkecuali’.

“Saya tidak terlibat dalam perbincangan itu, yang terlibat daripada wakil kerajaan ketika itu termasuk Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

“Sebelah kita (PH), saya ingat ada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR), ada Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP), sebelah sana (kerajaan ketika itu) ada Datuk Seri Takiyuddin Hassan, (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

“Jadi, kita tahu kita yang keras mahu masukkan bahagian kalau dia (ahli Dewan Rakyat) dipecat (daripada parti) pun mesti gugur (sebagai wakil rakyat), tetapi mereka menentang. Rekodnya ada dalam perjumpaan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada keputusan Speaker semalam akan membolehkan Ahli Parlimen lain menarik sokongan kepada kerajaan tanpa perlu mengosongkan parti, Anwar berkata, perkara tersebut juga perlu mengikut undang-undang.

“Ia kena ikut undang-undang, ini bukan soal (sokong) PM atau soal (sokong) Ketua Pembangkang, (tapi) kena ikut undang-undang dan tafsiran undang-undang, itu kita serahkan kepada Speaker,” katanya.  – MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

  1. Haaaa….buka mulut jaa muhong…sama dgn Rapiji…takut kalah mcm kat Sg Bakap laa tu…

Comments are closed.