peranan ulama UMNO
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegur sikap sesetengah pihak yang menggelar sesorang dengan panggilan menghina.

Katanya, meskipun berbeza dalam pelbagai pandangan termasuk isu politik, namun, keberadaban membataskan seseorang daripada mengeluarkan hinaan dan cercaan terhadap orang lain.

Ini kerana katanya, dalam kehidupan manusia dicipta oleh Allah dengan kepelbagaian cara fikir dan perbezaan tahap ilmu dan pengetahuan.

“Tuduh menuduh dengan gelaran seperti wahai si fasik, wahai si munafik, wahai si dajal, si bodoh dan makian dengan nama binatang seperti babi, anjing, kera, keldai dan seumpamanya adalah haram dalam Islam.

“Ia termasuk dalam kategori jenayah takzir dalam Islam sebagaimana dihurai oleh para Fuqaha seperti Imam al-Mawardi dalam karyanya al-Insaf,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Menurut Mohd Khairuddin lagi, apa yang menjadi pengikat dan titik bersama pada semua ialah mengangkat nilai adab dan akhlak ketika berbeza kerana ia merupakan asas utama dalam Islam dan menjadi rukun bagi negara. – MalaysiaGazette