Penguat kuasa JIM melakukan pemeriksaan ke atas premis cuci kenderaan yang menggajikan warga Bangladesh secara tidak sah.

KUALA LUMPUR – Seramai 12 orang pekerja warganegara asing Bangladesh ditahan di sebuah stesen minyak di kawasan Lebuhraya Petaling Jaya, 12 tengah hari kelmarin.

Lokasi serbuan merupakan premis stesen minyak yang menawarkan khidmat mencuci kenderaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi ini melibatkan seramai 17 orang pegawai Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Dalam operasi ini, 12 orang warganegara asing ini telah diperiksa dan ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki suatu pas atau dokumen yang sah bagi memasuki Malaysia dan telah melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-peraturanImigresen 1963 iaitu melanggar syarat-syarat pas.

“Kesemua warganegara Bangladesh ini dalam lingkungan umur 25 hingga 35 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung warganegara asing yang bekerja di premis tersebut disyaki tidak memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Tegasnya, JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahguna pas di negara ini.

Tindakan tegas akan turut diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa asing. – MalaysiaGazette