Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi 42 buah Kampung Angkat Madani di seluruh negara dengan agihan peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta bagi setiap kampung.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah tersebut, sehingga 10 Julai 2024, kementeriannya menyalurkan RM86.3 juta kepada kementerian dan agensi yang terlibat meliputi 35 buah kampung yang telah dikenal pasti.

“Kriteria yang menjadi keutamaan pemilihan sesebuah kampung adalah kampung yang mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus bagi melengkapkan keperluan
kemudahan asas.

“Kampung yang terpilih akan dijadikan penanda aras terbaik dalam membantu kerajaan merapatkan jurang antara desa dan bandar.

“Ini termasuklah memperkasakan ketua mukim atau jawatankuasa kampung dan komuniti setempat melalui pendekatan gotongroyong serta memudahkan tatacara perolehan dan kewangan untuk membantu melengkapkan projek infrastruktur di kampungkampung yang terpilih,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri SH Mohmed Puzi Sh Ali (Pekan-BN) mengenai apakah matlamat utama pelaksanaan Kampung Angkat Madani berbanding dasar sedia ada dan apakah kriteria yang menjadi keutamaan pemilihan sesebuah kampung
sebagai kampung angkat serta kelebihannya.

Amir Hamzah menambah, terdapat dua jenis penumpuan yang diberikan kepada Kampung Angkat Madani aitu berbentuk fizikal dan bukan fizikal.

Menurutnya, projek fizikal adalah seperti menambah baik jalan kampung, lampu jalan kampung, bekalan air, bekalan elektrik, kemudahan capaian internet, gotong-royong membina atau membaiki titi dan jambatan dan membina paip atau saliran air.

Projek lain kata beliau, membina pondok atau balai raya, menyediakan kemudahan akses kepada pendidikan dan kesihatan serta program bimbingan bagi menggalakkan dan mewujudkan sumber makanan dan sumber pendapatan.

“Manakala Projek Bukan Fizikal pula adalah seperti bantuan pengesahan (verification) di kawasan setempat seperti pendaftaran JKM, e-Kasih, STR, SARA, perkhidmatan bergerak Kerajaan seperti saringan kesihatan, pergigian, bank bergerak, program Mekar dan
Budi Madani serta program bimbingan kanak-kanak dan remaja yang keciciran dalam pelajaran,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kerajaan duk canang tak ada duit…hutang meningkat.subsidi minyak kena tarik…pencen penjawat awam dihapuskan…tp tup2 membazir duit pembayar cukai utk benda2 merepek…jd kempen politik..

Comments are closed.