Yong Sang Kein mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal tahun lalu.

MELAKA – Seorang pembantu kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini atas tuduhan memandu secara mabuk sehingga menyebabkan kematian dua penunggang motosikal tahun lalu.

Tertuduh, Yong Sang Kein, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu sebuah kenderaan bernombor pendaftaran MAU5471 telah memandu di bawah pengaruh alkohol di dalam darah dan menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan dua kematian penunggang motosikal.

Dua penunggang terbabit ialah Iman Nur Azrin Noriman, 18, dan Nurul Rahimah Abdul Samad, 32.

Kesalahan itu berlaku di Jalan Pulau Gadong, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 8.30 pagi 17 Julai 2023.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda minimum RM50,000 dan maksimum RM10,000 mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999)

Individu yang disabitkan bersalah juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen memandu sekurang-kurangnya 10 tahun dari tarikh sebutan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh yang diwakili peguam Nur Alia Safri.

Peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit dengan pendapatan RM1,500 sebulan selain menyara ibu dan kakaknya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen Kelas D milik tertuduh digantung hingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 19 Ogos ini untuk serahan dokumen.

MalaysiaGazette pada 17 Julai tahun lalu melaporkan dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabas yang didakwa pemandunya akibat silau menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.