Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Simpanan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Semenanjung sebanyak 16.2 juta tan bernilai RM810 bilion.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perlombongan NR-REE tidak dibenarkan di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK).

Sehubungan itu katanya, PAC dimaklumkan bahawa satu projek rintis perlombongan NR-REE telah dijalankan di luar kawasan HSK di Kenering, Perak.

“Berikutan itu, panduan aktiviti perlombongan NR-REE di luar kawasan HSK telah diedarkan pada Disember 2023,” katanya membentangkan Laporan PAC Parlimen berhubung Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar, hari ini.

Menurut Mas Ermieyati, tindakan perundangan terhadap aktiviti perlombongan haram tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tambah beliau, aktiviti pembalakan dalam HSK dikelaskan sebagai hutan pengeluaran sahaja melalui pendekatan lestari terpilih yang mana hanya saiz pokok tertentu sahaja boleh ditebang.

“Lesen pembalakan dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan setiap negeri mesti mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) bagi memastikan aktiviti pembalakan tidak melebihi had keluasan di dalam hutan pengeluaran.

“PAC telah dimaklumkan bahawa sehingga kini, CTT dipatuhi kesemua negeri sejak lebih 10 tahun lalu,” ujarnya.

Mengulas mengenai isu tanah runtuh dan pencerobohan hutan, beliau berkata, kebanyakan negeri masih belum menggunakan Akta Perhutanan Negara Pindaan Tahun 2022 (A1667) meskipun pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 yang dilaksanakan bagi menangani isu tersebut.

“Selain itu, PAC dimaklumkan bahawa isu tanah runtuh dan isu pencerobohan hutan berlaku disebabkan kelemahan penguatkuasaan di peringkat negeri,” katanya lagi.

Mas Ermieyati berkata, PAC juga mendapati terdapat kelemahan dalam pelaksanaan penanaman semula Projek Pembangunan Ladang Hutan.

“PAC merumuskan bahawa kehilangan habitat merupakan punca utama konflik manusia-hidupan liar. Oleh sebab itu, Jabatan Perlilitan akan mewajibkan pematuhan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (WMP) bagi sebarang projek yang melibatkan habitat hidupan liar.

“Namun, penguatkuasaan dalam mewajibkan pematuhan kepada WMP belum dilaksanakan kerana pihak Perlihitan masih menunggu penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] daripada Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Sehubungan itu Mas Ermieyati berkata, jawatankuasa itu mengesyorkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) perlu membentangkan dapatan daripada projek rintis perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang telah dijalankan serta butiran lengkap projek rintis berkenaan.

“NRES perlu terus berusaha bagi mendapatkan komitmen daripada kerajaan negeri/wilayah untuk mengurangkan aktiviti pembalakan serta memfokuskan aktiviti ekopelancongan dan
inisiatif perdagangan karbon supaya impak negatif dapat diminimumkan.

“NRES perlu segera meminda Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525] supaya tindakan terhadap aktiviti perlombongan haram dapat dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette