KUALA LUMPUR – Seorang lelaki direman tiga hari kerana disyaki memecah cermin kereta yang diletakkan di tepi jalan kawasan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil, di sini, pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Ravindar Singh Sarban Singh berkata, suspek berusia 42 tahun itu direman bermula hari ini sehingga 13 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Pada 2 Julai lalu, sekitar jam 9.20 pagi, polis telah menerima sebanyak enam laporan berhubung kes pecah cermin kereta di tepi jalan kawasan Stesen LRT) Awan Besar, Bukit Jalil.

“Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Cheras) telah membuat risikan dan menahan suspek di Razak Mansion, Cheras sekitar jam 7 malam semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Ravindar, hasil siasatan mendapati, suspek turut terlibat berkaitan kes curi parcel dan pecah rumah di sekitar Cheras.

Malah suspek juga mempunyai beberapa rekodkan lampau jenayah dan kes dadah, ujarnya.

Susulan itu, polis memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang melanggar undang-undang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette