Tertuduh Suhana Surin, 43, Mohd Rozaiman Rahmat, 45 dan Patrick Tan Peng Sin, 34, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat pengiklanan bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan yang ditawarkan sejak dua tahun lalu.

MELAKA – Tiga kakitangan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat pengiklanan bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan yang ditawarkan sejak dua tahun lalu.

Kesemua tertuduh Suhana Surin, 43, Mohd Rozaiman Rahmat, 45, dan Patrick Tan Peng Sin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Suhana yang juga Pembantu Tadbir di Jabatan Korporat dan Khidmat Masyarakat MPAG dihadapkan dengan empat pertuduhan menerima suapan berupa wang tunai keseluruhannya berjumlah RM1,900 antara 10 April 2022 hingga 18 April 2023.

Sementara itu, Mohd Rozaiman sebagai Pegawai Tadbir di Unit Penguatkuasaan didakwa dengan tiga pertuduhan membabitkan RM2,900 antara 20 Mac 2022 hingga 18 April 2023.

Patrick yang merupakan Pegawai Khidmat Pelanggan pula berdepan dua pertuduhan dengan nilai suapan RM5,000 antara 1 Januari hingga 10 Februari 2023.

Kesemua tertuduh didakwa menerima suapan tersebut daripada pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma melibatkan jumlah keseluruhannya RM9,800 bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan ditawarkan di pihak berkuasa tempatan itu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Azriff Firdaus mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Suhana yang diwakili Peguam Muhammad Denial Khairul Hizam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan dia adalah ibu tiga orang anak berusia antara 21, 13 dan 6 tahun yang masih bersekolah.

Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam masing-masing merayu jaminan rendah dengan alasan tidak mampu membayar jaminan selain menanggung keluarga, termasuk bapa dan ibu mentua.

Elesabet kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dicadangkan pendakwaan dan pasport jika ada diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 13 Ogos bagi sebutan semula dan serahan dokumen untuk Rozaiman dan Patrick, manakala tarikh 22 Ogos ditetapkan bagi Suhana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast