Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR –  Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan kerusi Nenggiri baru-baru ini tepat, jika dibandingkan dengan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Jelas beliau, bidang kuasa Speaker Datuk Seri Johari Abdul  adalah memastikan kekosongan bukan membuat keputusan pengekalan kerusi keenam-enam bekas ahli Parlimen Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Biarkan mereka hadap saya (sebagai Setiausaha Agung Bersatu) di mahkamah sama ada mereka masih ahli parti atau tidak. Itu bukan tugas anda (Speaker). Itu tugas saya.

“Speaker Kelantan betul. Beliau memastikan ada kekosongan, kemudian ahli itu lawan di mahkamah,” katanya.

Katanya, Speaker sepatutnya tidak memihak kepada mana-mana pihak di dalam Dewan Rakyat.

“Saya nak bertanya, saya Setiausaha Agung parti, siapa yang lebih tahu sama ada ahli itu melepaskan keanggotaannya atau dia tidak lagi menjadi ahli parti? Sudah tentulah Setiausaha Agung bukan Yang di-Pertua begitu jugalah di sebelah sana mereka lebih tahu siapa anggota parti yang telah melepaskan keanggotaannya.

“Sepatutnya Speaker tidak mengikut perjanjian yang dibuat oleh gabungan Speaker, awak tidak patut memihak mana-mana,” katanya lagi sebelum meninggalkan dewan bersama-sama Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, sebelum Hamzah bersuara Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee menyifatkan Johari sebagai melangkaui kuasanya di bawah Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan selepas membuat keputusan  mengekalkan kerusi keenam-enam Ahli Parlimen yang kini menjadi Bebas.

“ 49A(3) Apabila Yang dipertua menerima satu notis bertulis daripada mana-mana ahli dewan rakyat mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli dewan rakyat di bawah perkara ini Yang diPertua hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka tersebut. 

“Malah, Tan Sri membuat interpretasi terhadap Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Selain itu, Ronald turut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan mengekalkan kerusi enam Ahli Parlimen yang telah dipecat daripada Bersatu adalah Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Awang Hashim (Pendang) dan Dr Radzi Jidin (Putrajaya).

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin mengesahkan Johari membuat keputusan  enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Anwar diisytihar kekal sebagai wakil rakyat.-MalaysiaGazette