KUALA LUMPUR – Seramai 12 mufti telah menyatakan sokongan mereka kepada Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 (tanpa pindaan).

Mufti Kelantan, Sahibus Samahah Datuk Mohamad Shukri Mohamad, mufti terbaharu yang menyatakan sokongan kepada RUU tersebut semalam.

Menurutnya, Jabatan Mufti Kelantan menyokong sepenuhnya Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 kerana ia selari dengan amalan di negeri ini sejak sekian lama.

Mohamad Shukri berkata, Kelantan mempunyai kekuatan Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Kita bersetuju dengan RUU Mufti kerana selari dengan yang Enakmen MAIK dan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
“Kedua-duanya mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah serta demikian juga RUU Mufti nanti akan sealiran dengan negeri ini,” katanya hari ini.

Selain Mufti Kelantan, mereka yang melahirkan sokongan tu ialah Mufti Perak, Sabah, Melaka, Kedah, Johor, Wilayah Persekutuan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Pulau Pinang.

Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar membentangkan tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat merangkumi RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti antaranya memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

Mohd Na’im menjelaskan RUU tersebut akan memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan hukum-hakam agama serta tatacara mengeluarkan fatwa atau pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah, selain penentuan arah kiblat.

Ia juga turut memperincikan badan Jawatankuasa seperti Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Rukyah Hilal, dan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.

Bagaimanapun sebahagian daripada pindaan yang terdapat di dalam RUU itu mencetuskan polemik dalam kalangan agamawan dan ahli politik.

Ia kerana, pindaan berkenaan menyentuh kelayakan menjadi mufti iaitu mewajibkan individu terbabit berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) yang terfokus pada perkara 4 (a) iaitu merujuk kepada pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam akidah, bermazhab Syafie (mengikuti mazhab Sunni lain dalam keadaan tertentu) dalam fiqah serta pegangan dibawa oleh Imam al-Ghazali dan Imam Junaid dalam tasauf.

Meskipun Mufti Sarawak belum mengumumkan pendirian berhubung RUU tersebut namun Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia -Islami berkongsikan kenyataan bahawa Sarawak teguh bersama Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

“Sarawak adalah salah satu negeri yang sangat kuat mempertahankan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah Al-Asya’irah wal Maturidiyah.

Ini jelas dapat dilihat berdasarkan ‘Syarat-Syarat Kebenaran Mengajar Agama Islam’ yang telah ditetapkan oleh institusi Islam di negeri ini,” katanya. –
MalaysiaGazette