Amir didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan pilihan menggajikan anak perempuannya sebanyak RM13,750 menerusi lantikan tidak sah tiga tahun lalu.

MELAKA – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka Halal Hub Sdn Bhd (MHHSB) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan jawatannya untuk melantik dan menggajikan anaknya sebanyak RM13,750 dalam tempoh lima bulan tiga tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Amir Ali, 57, membuat pengakuan itu sebaik kertas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan dan fakta kes, tertuduh didapati membuat urusan berhubung suatu harta iaitu bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM13,750 diterima anak perempuannya, Nur Hafizah, yang dilantiknya ke jawatan Pegawai Kewangan W41 di MHHSB dalam tempoh April hingga Ogos 2021.

Pelantikan itu tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah syarikat induk MHHSB iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) yang menyalahi Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Kesalahan itu dilakukan di syarikat berkenaan yang beralamat di Lot 125 Bangunan Anchor Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub Serkam pada 1 April 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa Seksyen 26 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan denda minimum RM15,000 hingga RM20,000 kerana kes tertuduh adalah serius dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Nilai itu jelasnya juga selaras dengan gaji diterima anak tertuduh sepanjang kerja dari April hingga 0gos 2021.

Peguam tertuduh, Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun memohon agar denda dikurangkan kerana anak guamnya sudah menyesali perbuatan itu yang terjadi kerana desakan kewangan akibat negara dilanda Covid-19.

Tertuduh juga jelasnya mempunyai lapan tanggungan dengan pendapatan bulanan RM6,000 selain mengidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Selepas mendengar hujan kedua-dua pihak, Hakim Elesabet menjatuhkan denda sebanyak RM15,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast