Isteri pelakon, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29 selepas hadir dalam sebutan kes penceraian dengan suaminya Hafidz Roshdi, 29 ketika di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pasangan berkontroversi, pelakon Hafidz Roshdi dan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri memilih untuk berdamai secara baik.

Susulan daripada itu, hari ini ketika prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, peguam mewakili Nurul Shuhada mendedahkan anak guamnya sudah menarik balik kes pukul difailkan terhadap Hafidz pada 6 Julai lalu.

Nurul Shuhada tidak hadir prosiding pagi ini di hadapan Majistret Siti Fatimah Talib sebaliknya hanya diwakili peguamnya.

Siti Fatimah kemudian menetapkan 2 Ogos depan untuk mendengar semula laporan berhubung penarikan laporan kes selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan.

Pendakwaan juga telah memohon tempoh dua minggu bagi mendapatkan kenyataan daripada Nurul Shuhada berhubung penarikan kes itu.

Peguam mewakili Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu, penarikan kes itu dilakukan secara sukarela tanpa sebarang paksaan.

Pelakon, Hafidz Roshdi, bersama peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader (kiri) selepas sebutan kes penceraian dengan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Jelasnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk selesai masalah mereka secara baik tanpa sebarang provokasi.

Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak pada Mac tahun ini yang dilakukan berdekatan Tol Sungai Buaya Hulu Selangor.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan pelakon popular itu berdepan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda.

Kedua-dua mereka mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 namun mereka bercerai pada 27 Julai tahun lalu.

Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Humairah, 7, dan Umar, 4.

Hafidz kemudian berkahwin dengan Athira Yuhada di Glenmarie, Shah Alam pada 15 Disember lalu. -MalaysiaGazette