KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bersetuju Tan Sri Johari Abdul adalah seorang “posmen” dalam tindakannya mengendalikan isu enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai “stamp pad” untuk Kerajaan Perpaduan.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu mendakwa, meskipun Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai seorang Speaker yang berat sebelah dan tidak neutral, namun Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, yang juga anggota parti itu telah tampil bersuara dengan adil berhubung perkara berkenaan.
Katanya, dalam satu temu buat dengan sebuah laman portal, Hassan mengkritik, dengan mengatakan keputusan Johari telah menentang aspirasi rakyat Malaysia melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menghalang lompat parti.
Dominic menggambarkan Hassan sebagai “suara hati” dalam PKR dan pada masa sama melihat Johari membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik parti, tanpa menghormati keadilan dan kedaulatan tertinggi Perlembagaan Persekutuan.
“Saya secara peribadi sangat menghargai dan menghormati Hassan, beliau adalah pemimpin akar umbi PKR yang berani bersuara untuk keadilan, mendekati pengundi dan memahami situasi rakyat.
“Inilah pemimpin yang datang dari rakyat dan sentiasa bersama rakyat. Beliau tidak seperti beberapa pemimpin atasan PKR yang sombong dan tidak mendengar suara rakyat, malah menghina rakyat sebagai bodoh dan tidak bijak.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas situasi berkaitan, Dominic turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membenarkan penerimaan enam “katak politik” dengan menuduh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, membaca peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai undang-undang anti-lompat parti secara selektif.
Beliau turut bertanya kepada Anwar, adakah Hassan juga menafsirkan undang-undang anti-lompat parti seperti itu sambik menyifatkan ia adalah usaha untuk menutup kelemahan dan berdalih.
“Saya benar-benar ingin tahu, jika pada masa ini ada Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang tanpa keluar parti, mengumumkan sokongan kepada PN, apakah pendirian pemimpin PH?
“Adakah Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan bertindak seperti ‘posmen’ kembali?” soalnya.
Dominic memberitahu, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa mana-mana ahli Parlimen yang bukan lagi ahli parti tertentu, kerusinya di Dewan Rakyat mesti dikosongkan.
“Salah satu tanggungjawab Yang di-Pertua Dewan Rakyat ialah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya apabila terdapat kekosongan kerusi,” ujarnya.
Beliau berkata, kini banyak kumpulan atau individu dalam masyarakat tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri yang menggunakan taktik tekanan tinggi untuk mengekalkan kerusi yang asalnya milik Bersatu, hanya kerana mereka menyokong beliau secara membuta tuli dan akan menutup mata terhadap kebenaran serta memutihkan kesalahannya.
Semalam, ketika sesi sidang Dewan Rakyat, Johari menegaskan, dirinya bukan posmen sambil menyatakan sudah membuat kajian sebelum membuat keputusan membaca semua kenyataan mengenai Perkara 49, Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette