Beras bersubsidi pelbagai gred termasuk beras putih impor bernilai RM2.1 juta dirampas dari sebuah gudang simpanan haram dalam serbuan pada 15 dan 16 Mei lalu di Sarawak.-Ihsan Foto KPKM

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) masih menunggu hasil kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenai industri padi dan beras termasuk dakwaan kewujudan kartel.

Sehubungan itu, KPKM menyeru semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut.

Jelasnya, KPKM telah memberikan kerjasama penuh kepada MyCC dengan memberikan segala maklumat dan maklum balas lanjut dari semasa ke semasa.

“KPKM mengulangi pendirian bahawa tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan kartel padi beras sekiranya didapati melakukan kesalahan di bawah Akta
Persaingan 2010 [Akta 712] dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

“Pihak KPKM menyambut baik kajian yang sedang dijalankan dan menegaskan tidak akan mencampuri sebarang urusan kajian yang dilakukan oleh MyCC dan menyerahkannya kepada pihak MyCC untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

KPKM berkata demikian merujuk artikel terbitan akhbar New Straits Times di ruangan NST Leader bertajuk ‘The broken rice story’ yang disiarkan di dalam talian dan cetak pada 11 Julai 2024.

Dalam pada itu kementerian itu berkata, pihaknya akan meneruskan perbincangan dengan pemegang taruh bagi memperhalusi pelan tindakan jangka masa panjang mengenai kos pengeluaran beras yang lebih realistik.

“Pada masa ini, perbincangan bersama pemegang-pemegang taruh sedang dijalankan dan Kementerian berharap dapat memuktamadkan cadangan dan perincian bagi mencari
penyelesaian terbaik isu padi dan beras seperti yang diarahkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Selain itu, KPKM memberi jaminan akan menjaga kebajikan pesawah dengan meneruskan insentif dan subsidi merangkumi subsidi input termasuk baja, benih dan racun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast