KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 20.1 peratus pada Mei tahun ini kepada 25,608 tan metrik berbanding pada April ini berjumlah 21,325 tan metrik.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bagaimanapun pengeluaran getah asli meningkat 6.1 peratus atau 24,126 tan metrik pada Mei 2023.

“Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2024 disumbangkan daripada sektor pekebun kecil sebanyak 88.2 peratus, berbanding sektor estet (11.8%),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia, Mei 2024, hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah stok getah asli pada Mei 2024 menurun 16.9 peratus kepada 175,368 tan metrik berbanding 211,119 tan metrik pada April 2024.

“Kilang pemprosesan getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.4 peratus diikuti kilang pengguna getah (8.5%) dan estet getah (0.1%),” katanya.

Selain itu, katanya, eksport getah asli Malaysia meningkat 6.3 peratus kepada 50,796 tan metrik pada Mei 2024 berbanding April 2024 sebanyak 47,795 tan metrik.

“China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 39.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2024 diikuti India (10.6%), Jerman (9.4%), Emiriah Arab Bersatu (6.5%) dan Amerika Syarikat (4.6%).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah,” katanya.

Beliau berkata, produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.25 billion pada Mei 2024.

“Jumlah eksport sarung tangan getah meningkat 14.1 peratus berbanding April 2024 yang berjumlah RM1.09 billion,” katanya.

Dalam pada itu, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 1.2 peratus kepada 742.36 sen sekilogram pada Mei 2024 berbanding 733.58 sen sekilogram pada April 2024

“Manakala sekerap meningkat sebanyak 2.7 peratus (Mei 2024: 657.16 sen sekilogram; April 2024: 639.62 sen sekilogram).

“Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 1.2 peratus hingga 3.2 peratus.

“The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 3.9 peratus (dari AS$1.63/kg kepada AS$1.69/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 5.4 peratus (dari AS$2.28/kg kepada AS$2.15/kg),” katanya lagi. – MalaysiaGazette