Ewon mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Perdagangan, Phumtan Wechayachai di kementerian beliau.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM30 juta semasa Misi Perdagangan Francais ke Bangkok yang berlangsung pada 10 hingga 13 Julai 2024 sempena Thailand Franchise Business Opportunities Expo (TFBO) 2024 di Bangkok International Trade & Convention Centre (BITEC), Bangkok, Thailand.

Misi yang diketuai oleh menterinya, Datuk Ewon Benedick bertujuan mempromosikan syarikat-syarikat francais jenama tempatan ke peringkat antarabangsa khususnya di Thailand yang mempunyai potensi pasaran besar dengan jumlah penduduk seramai 71.6 juta orang.

Beliau juga merasmikan Pavillion Francais Malaysia yang mempamerkan produk dan perkhidmatan oleh tujuh syarikat yang terdiri daripada sektor makanan, pendidikan, teknologi dan perkhidmatan di TFBO 2024.

Syarikat-syarikat yang menyertai misi ini adalah D’ Tandoor, FatNinjas, Global Art, IrisPro, MuzArt, Myeongdong Topokki dan Cleanpro.

Ewon juga menghadiri perbincangan meja bulat bersama pihak industri francais di Thailand bagi membincangkan perkembangan francais di kedua-dua negara dan mempertingkatkan kerjasama di masa hadapan.

Dalam lawatan itu, Ewon juga mengadakan pertemuan bersama pihak industri, diaspora Malaysia dan Malawakil Malaysia di Bangkok, Thailand, selain lawatan kerja ke syarikat francais Cafe Amazon milik syarikat Thailand dan juga ke Laundrybar, syarikat francais Malaysia yang telah beroperasi di Thailand.

Inisiatif ini merupakan kolaborasi Kuskopbersama Persatuan Francais Malaysia (MFA), Kedutaan Malaysia di Thailand melalui Kementerian Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Usaha ini bagi merealisasikan Perancangan Strategik Kuskop 2024 yang bertemakan Usahawan Madani, Memacu Ekonomi selaras dengan hasrat dan kerangka visi Malaysia Madani di bawah tonggak nilai ‘kesejahteraan” yang membawa makna keseimbangan kehidupan bagi memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera. – MalaysiaGazette