MELAKA – Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum merempuh tiga kenderaan lain di lampu isyarat di Jalan Dato Mohd Zin, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi itu, mangsa, Tan Wee Kok, 42, disahkan maut di tempat kejadian akibat parah didada.
Menurutnya, seorang lagi mangsa rempuhan itu, buruh binaan berusia 29 tahun mengalami patah hidung manakala dua lagi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian si mati yang memandu kereta jenis Proton Wira datang dari arah Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) menuju ke Taman Merdeka.
“Sebaik tiba dilokasi, keretanya dipercayai hilang kawalan dan merempuh belakang tiga buah kereta di hadapannya jenis
Hyundai Accent, Nissan Grand Livina dan Toyota Vios yang sedang berhenti di lampu isyarat merah,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, rempuhan kuat mengakibatkan Wee Kok maut di tempat kejadian manakala pemandu Hyundai Accent disyaki patah hidung dan dua lagi pemandu lelaki berusia 39 dan 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kenderaan terlibat dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.
“Polis turut mengesan saksi bebas yang melihat kejadian selain mencari bukti rakaman video papan pemuka dari kenderaan lain yang berada dilokasi nahas untuk membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette